A. Ghani Abdullah

a-ghani-abdullah.blogspot.com

  • Karya besar penggerak diri

    A GHANI ABDULLAH, pengarang kelahiran Ramuan Cina Kecil, Lubuk Cina, Melaka. Karyanya mendapat tempat dalam Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Harian Nasional, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Siswa dan Dewan Pelajar di samping menulis novel, Camar Putih di Awan Biru, pada 1991; Permaisuri (1995) dll.

Citra : Lakaran

Posted by S.A.G On 7:10 AM 0 comments

CERITA TUJUH

Lakaran cerita sepatah kata oleh A.Ghani Abdullah

    HAI KATAK!

Katak Cilak jangkanya sudah lama dihumban dalam api.Biar terkangkang hangus empat kakinya dan hancur kerepot kepalanya. Kepalanya yang penuh ulat gondol dan racun rumpun. Mana yang tak jadi debu dibubuh limau dihumban dalam tangki tahi kerbau di sungai buaya sana.

Apa tidaknya, Katak Cilak paling  dibenci oleh Burung Putih kerana tiap kali berbunyi mengeluarkan racun dan menyembur mati  setiap yang beridri di depannya.

Malah tempias buih racun mulat Katak Cilak melumpuhkan pendengaran tumbuhan dan biantang kelilingnya. Memang patut pun dihapuskan Katak Cilak.

Segi hukumnya kuasa Tuhan. Tetapi hati kaum binatang tetap ada tersentuh juga perasaan mahu menjatuhkan hukum kepada si katak Cilak. Apatah lagi sikap dan perlakuan Katak Cilak itu memang koto,menjijik dan kejam pun.

Burung Putih terluat di hatinya meminta Katak Cilak itu mati. Mati atas perbuatan Katak Cilak  sendiri. Bukan oleh sebab lain atau dilakukan oleh binatang lain. Tak baik ucapan demikian, tetapi itulah yang terjadi. Semoga diberi petunjuk dan pengampunan.

Katak Cilak hidupnya lebih binatang daripada binatang itu sendiri. Maka Katak Cilak bukan jenis binatang dalam istilah Burung Putih lagi. Penuh kotoran.

Mukanya yang elok cantik seperti katak tetapi kini Katak Cilak berupa hantu jerangkung bangkai dengan mata merah dan tubuh menjijikan segala kaum binatang. Apatah lagi jika disentuh dan dilihat oleh kaum manusia.

Burung Putih memang tak boleh berbuat apa-apa. Dia menyimpan sabar dan marah. Dia berdukacita dalam hati dan dirinya. Burung Putih tidak mahu bertindak kerana dirinya sendiri tidak ada kuasa itu. Sebab Katak Cilak ini memang jenis binatang yang hidup dalam dunia bagi mengerjakan kelakuan neraka.

Katak Cilak asal dari kaum yang kejam dan samseng. Memang tidak pernah dilakar di hatinya sebuah jiwa yang memandang baik kepada kaum binatang lain.

Apatah lagi kepada Burung Putih yang selalu berbuat  baik tetapi dibalas dengan cakaran dan sumpahan serta menabur racun membunuh.
Katak Cilak berbuat baik apabila berjumpa rakannya seperti Pot, Tet, Kot, Sot,Tut seriii

------------

Citra : AHMLK : 29

Posted by S.A.G On 7:09 AM 0 comments

CERITA ENAM

(Petikan Bab 29 novel Apabila Hidup Menjadi Lembah Kesusahan karya A Ghani Abdullah dalam manuskrip taip asal. Novel ini sudah diterbitkan.

Harga RM 125/= senaskhah. Terbitan terhad-kulit keras- Koleksi Bahan Sejarah penulis zaman Keris Mas dalam bentuk novel. )   

Bab Akhir- 29

Kenangan lama zaman Keris Mas dan Usman Awang  pasti memukau seperti peninggalan karya-karya P. Ramlee dengan filemnya. Zaman M.C.ff Sheppard. Zaman Sir Richard Winstedt. Zaman orang teringatkan Robinson & Co. Zaman Raja Tun Uda, Dato’ Tan Ceng Lok, Tun Leong Yew Koh, Tun Lim Yew Hock. Moto Berpegang Teguh Pada Allah.

Zaman Orang Besar Berlapan. Zaman Orang Kaya-kaya. Zaman Orang Kaya-kaya Laksamana. Zaman Orang Besar Berempat semuanya penuh semangat dan getaran jiwa.

Dulu orang kenal dengan East India Company dengan kapal Lord Lowther. Dengan kapal Carnatic dengan berat 632 ton. Semuanya jadi perhatian.

Atau masing-masing mengenali rokok Player’s Navy Cut yang dikatakan famous for quality. Dengan Mercerdes-Benz jenis 180 D, 220S, 190 yang diedarkan oleh Motor Division Cycle &  Carriage.

Atau ada yang lebih utama mengenangkan Sultan Ahmad, Sultan Pahang (1882-1914). Sultan Abu Bakar, Pahang yang menerima anugerah Colonel of the Pahang M.V.I dalam tahun 1928. Atau bangga dengan penemuan batu nesan Sultan Mansur Syah, Sultan Melaka (1458 – 1477). Atau terkenangkan Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad dengan J.W.W. Hughes dalam tahun 1932 itu.

Begitulah yang terjadi kepada yang pergi. Masing-masing ada kenangan. Dia pernah menjadi Penerbit dan Pengarah drama Makamah Keadilan. Karya Taufik al-Hakim. Siti Rohaya Ariffin menjadi Penolong Pengarah. Penasihat- Zakaria Ariffin,Ahmad Razali Haji Yusof. Pengurus Artis Abu Bakar
Buyong. Pengurus Pentas Rasdi Daud. Pengurus Peralatan dan Kostum- Kamariah Abu Samah dan Norraya Yusof. Cenderamata dan pengiklanan - A.Rahim Esa, Azman Khamis. Penolong Pengurus Pentas dan Pencahayaan- Mohd. Nor Husin, Salleh Husin, Ali Husin, Abdullah Tamby Chik. Pengurus Umum –Zainah Haji Musa. Waktu itu Pengerusi Badan Keluarga DBP- Ramly Kamsan. Pelakon Mahkamah Keadilan terdiri Sabri Yunus (Hakim),Shaari Shafie (Tukang Roti), Abd. Ghafar Bahari (Pemilik Itik Angsa), Shahrizan Ahmad (Yang Berbalut Mata), Norhashimah Muhammad (Isteri), Mohd. Faisal Yusof (Syekh), Zaiton Joned (Orang Mahkamah), Hanim Zakaria  (Orang Kampung), Norraya Yusof (Petani) dan Mohamad Shahidan (Suami). Bengkel drama ini dibimbing bersama oleh  Mohammad Abdullah  di Banglo Selesa di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mahkamah Keadilan ini dipentaskan di Balai Budaya, di Universiti Kebangsaan Malaysia dan di Tepian Gelanggang Air Keruh, Melaka. Itulah suatu sejarah yang tidak boleh dilupakan selain beberapa pementasan drama yang lain. Apatah lagi akan keterlibatan  dia dalam pelbagai lapangan budaya dan sastera/bahasa.

Apakah ini akhirnya menjadi lembah kesusahan?

Apabila hidup menjadi lembah kesusahan/ bagai di padang pasir/ langit birunya tidak turun/ awan putihnya tidak berarak/ yang ada itu/ kerak angin/ meruam hembusan/ matanya kering keringat/ yang jatuh hanya/ mencari pertemuan kehausan / paling pedih  dan sedih.

Maka dalam mimpinya dulu, dia menjampi dirinya.
Wahai! Jika bulan pandai menari
Lenggok-lenggang goyang-goyang kaki
Wahai bintang temankan aku senyap sunyi
Akan kutari dari hujung langit ke hujung bumi
Hai bulan dan bintang
Aku matahari  timbul di siang hari
Berdiri tidak bertongkat
Berjaga tidak bertiang
Aku menari pagi dan petang
Cerahlah bumi terang benderang
Biar tumbuhan hidup mranum
Biar bintang pandai memburu
Biar manusia tahu jadinya
Aku dijadikan panas membakar
Jika dipujuk menjadi akar
Menjadi air menjadi sejuk
Setitik embun
Hijaunya dan hijaulah hari
Tujuh malam turut bermimpi
Layu daun keringlah hari
Kerbau pun tidak dapat berkubang
Terbukalah mata insan di bumi
Menadah tangan kepada Illahi!

Wahai matahari  banyak berbudi
Aku ini bintang menyeri
Teman kepada bulan sejati
Tabur cahaya ke tanah bumi
Melihat cucu-cicit anak Adam
Sudahkan bersatu menulis kalam
Ilmu tadbir dunia masih kelam
Sebutir bintangku tak tergapai
Sekilas bulan telah terlalai
Apa ditakjub cahaya gemalai
Urat fikir masih tersadai.

Wahai mentari dan bulan
Kita ini cakerawala ingatan
Insan berlutut nan dua
Tahu cerita Si Awang Sulung Merah Muda
Beristeri empat wajah serata
Tahu Hikayat Siti Zubaidah
Cinta penyeri kepada suami
Empat isteri tidaklah payah
Empat hati disatukan memanglah gundah
Maka bersuaralah bumi
Hei matahari , bulan dan bintang
Jadilah engkau satu
Kunamakan cakerawala
Disatu laksana genggam api bara
Berasa panas dilepas buang
Wahai bumi nan mulia
Kami bulan, matahari dan bintang
Kami disatukan laksana genggaman intan berlian
Digenggam satu jadi penangkal
Tujuh petala bumi
Tujuh petala langit
Sudah pun menjadi saksi
Planet hidup kami bangkit
Insan di bumi tunduk syukur
Bulan, bintang dan  matahari
Cakerawala bersatu hati
Jangan hilang jika dipandang
Bagai sepantun jentayu menanti hujan
Tiada tertanggung menahan rindu.

Maka cakerawala pun menjampi
Wahai sekalian yang ada
Teguhkan hajat yang ada
Ini pesan akhir
Buatlah jangan mungkir
Puh! Bagai dikipas engkau tubuh
Puh! Bagai dilambai engkau hati
Kalau engkau tak makan susu ibu
Tak kena buatanku
Kalau makan susu ibu
Engkau terkena buatan aku
Kasihlah kata aku
Dengar,dengar siang malamku
Puh……
Tamat.

Citra : Dugung

Posted by S.A.G On 10:40 PM 0 comments

CERITA LIMA
Petikan Cerita dari salah sebuah sebuah novel A.Ghani Abdullah yang belum diterbitkan.

DUGUNG

Tuk Luh melihat  seekor ikan menyelam timbul di kuala sungai  mengadap  laut. Tuk Luh dapat memahami isyarat Dugung. Dugung meminta pertolongan.
 
Tuk Luh meminta aku bersama-samanya  menyelam ikut Dugung melalui gua. Dugung membawa ke sebuah terowong. Aku dan Tuk Luh mendapti ada sebuah empangan  yang penuh dengan kaum Dugung. Tetapi kaum Dugung itu banyak yang mati.

Aku menyusuri belukar dan anak sungai ke arah hulu. Aku dan Tuk Luh mendapati ada Gergasi Fran membuang toksid ke dalam empangan itu. Gergasi Fran sengaja  membuang toksid itu ke dalam empangan kerana tidak suka  kaum Dugung tinggal di daerah itu.

Tuk Luh meminta Raja Lio membantu menasihati Raja Lio supaya  mencegah atau melarang atau menangkap Gergasi Fran. Tetapi Raja Lio tidak mahu mengambil tindakan.

Kata Raja Lio rakyatnya banyak yang mati di makan oleh  Gergasi Fran. Rja Lio tidak boleh berbuat apa-apa.

Ketika itulah Gergasi Fran dapat menagkap aku. Gergasi Fran cuba membunuhku. Tiba-tiba menjelama suatu lembaga besar dari udara. Lembaga itu menyambar Gergasi Fran dan dihumban jauh daripada perkampungan ikan Dugung.

Kini daerah itu selamat. Tetapi aku masih tidak tahu, apakah yang menyelamatkan aku itu ibuku, makhluk asing?
---------

Citra : HOH : 24

Posted by S.A.G On 7:00 AM 0 comments

PETIKAN  BAB 24 DALAM Novel Harimau Oh Harimau  karya A.Ghani Abdullah. Novel ini dikategorikan jenis Sacerdai yang mengandungi kisah harimau (bentuk satira) dalam Hutan Kembayat Sutera diselit dengan cerpen (mengandungi kisah luar hutan) dan nota-nota di Batu Bersurat. Harga RM135/= senaskhah. Cetakan terhad untuk koleksi penggemar novel.

Bunyi surat/dokumen itu.

    Ditujukan untuk perhatian kaum harimau politkus  yang berpolitik di rimba raya.

Klinik Politikus

    Sebuah bangunan tinggi bagaikan sebuah lilitan dawai pagar rupa bentuknya. Bangunan setinggi  enam puluh tiga tingkat. Macam-macam  jenis syarikat dan pejabat persendirian atau bilik pejabat kegunaan peribadi. Syarikat Fido Bo Bhd.,  Doltiket Poy Bhd.,  Keropok Tido Sdn. Bhd. ,
Penyapu Basi Bhd., Najitoyak Khol Bhd., Lababo Katak Sdn. Bhd., Din Joget, Mozi Cukil, Pang To,  Gukepal Englo dan macam-macam jenis  syarikat.
Di antara puluhan syarikat besar itu ada sebuah klinik yang diberi nama KLINIK POLITIKUS .

Klinik Politikus ini di tempatkan di Tingkat 7-57-98/99. Hanya orang tertentu yang tahu ke tempat itu. Mereka dikehendaki mendaftar di pelabuhan  dan kemudian akan dibawa secara sulit ke Klinik Politikus. Yang  punya diri mengetahui klinik ini.

Dan setiap pesakit atau pelanggan ke klinik ini akan melupakan sepenuhnya  akan tempat ini selepas menerima rawatan. Mereka bagaikan tidak pernah menerima apa-apa rawatan untuk menyembuh penyakit atau masalah mereka. Semua kes adalah sulit dan dilindungi secara perjanjian dan undang-undang. Nama pesakit dirahsiakan sepenuhnya. Bayarannya ikut kemampuan Yang Berhormat itu.

 Pesakit diminta membeli sebuah penyapu,  berus dan span dengan harga ikut kemampuan dan jenis penyakitnya. Pesakit akan sembuh, segar, ceria, bertenaga dan berfikiran positif.

Tetapi jika melanggar pantang, mereka terpaksa masuk semula ke klinik ini. Pantangnya mereka tidak boleh makan harta anak yatim, atau mengutip wang amal dan kemudian menggunakan sebahagian untuk diri atau syarikatnya. Apatah lagi jenis wang yang diterima secara rasuah. Mereka  mesti mengamalkan puasa setiap bulan sekurang-kurang tiga hari. Penyapu, berus dan span yang dibeli di Klinik Politikus hendaklah digunakan apabila berada  di mana-mana sahaja. Jika  mendapati rumah bersampah, maka hendaklah sama-sama menyapu sampah dengan keluarga.  Jika ada  kain baju  kotor atau kawasan simen rumah yang kotor, maka hendaklah diberus. Dibersihkan.

Span  hendaklah digunakan untuk membasuh pinggan-mangkuk selepas makan. Terutama pinggan makan sendiri. Jangan sekali menggaji atau ada pembantu rumah atau amah.

Pesakitnya terdiri dari ahli politik sahaja dan masih berkhidmat atau memegang status wakil rakyat  Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen.
Pesakit datangnya dari pelbagai negara termasuk USA, England, Sepanyol, Perancis Russia, Jerman, India, China, Mongolia, Afrika, Switzerland,Thailand, Jepun, Australia, New Zealand, Singapura, Kanada, Filipina, Denmark dan Belanda.

Klinik Politikus ini  khas untuk mengubati penyakit orang politik. Penyakit kronik orang politik yang diburu oleh bayang-bayang politiknya kerana perbuatan salah diri sendiri.

Mereka ada yang terisak-isak menangis. Malah yang terhentak-hentak tangisannya. Hentakan tangis tidak pernah berlaku. Hentakan ini bermakna sambil menangis sambil menghantuk kepala dan menghentak kaki ke tunggul kayu atau di  tempat keras.

 Ahli politik boleh melepaskan geram di klinik ini. Diajar menumbuk macam ahli peninju dunia. Mereka akan berbuat apa sahaja. Tetapi mesti menggunakan alat yang disediakan oleh Klinik Politikus sahaja. Alat ciptaan Klinik Politikus boleh meredakan dan menjelmakan ketenangan. Peralatannya nampak serupa  seperti di hospital dan di rumah tetapi kesan dan kegunaannya amat ajaib. Dengan segera berupaya menyembuh  penyakit politikus. 

Ahli politik yang hilang visi akan membakar kakinya hingga lecur dan kemudian diberi ubat Kong Kang Beruk namanya bagi penyembuhan. Ahli politik yang selalu memberi harapan kepada rakyat tetapi tidak menunaikannya, mereka akan dimandikan dengan air cili padi dan kemudian disumbat mulutnya dengan daging busuk. Akhirnya diberi ubat Tok Tok Ketampi namanya.

Mereka yang suka berperang dan suka menjajah rakyat yang merdeka akan  dilelong segala hartanya dulu sebelum diberi ubat Ketiting Tempoyak Basi namanya. Ubat ini membolehkan mereka mati dengan aman. Jika tidak hidupnya sentiasa  diburu oleh mimpi yang tubuhnya kena panggang dan datang  serigala meratahnya.

Bermacam-macam jenis penyakit dan bermacam-macam jenis ubat disediakan. Mereka yang mendapat rawatan di klinik ini akhirnya ceria dan wajahnya membunga senyuman manis dan kuat beribadat.

 Mereka yang beragama diberi suntikan dengan ajaran roh agama. Pegangan agama sebagai makanan rohani. Mereka perlu membaca kitab-kitab agama dan berbanyak-banyak zikir.

Doktor yang didatangkan di sini adalah sebenarnya orang biasa tetapi diberi ijazah kerana keikhlasan mereka untuk mengubati pesakit ahli politik dunia. Pemandu atau pengawal peribadi, setiausaha-setiausaha  Ahli Yang Berhormat semuanya tidak tahu bos-bos mereka mendapat rawatan di Klinik Politikus itu.

    Syarikat ini dipunyai pengasasnya iaitu Tuan Abdul Mutalib Rani dengan Penasihatnya Profesor Madya  Tahir Kadir. Keuntungan syarikat, sebahagiannya digunakan untuk membangunkan pendidikan anak yatim dari peringat rendah hingga ke peringkat tinggi. Sebahagian lagi untuk membeli semula tanah nenek-moyangnya yang sudah tergadai ke tangan orang lain dan membangunkan nasib kaum harimau yang terbiar.

    Perbuatan mereka itu terdengar kepada dua ekor anak harimau iaitu si harimau Putera Hang Tuah dan si harimau Puteri Tun Fatimah. Dua ekor harimau suka bunyi surat itu. Bunyi itu suara yang bukan daripada manusia. Tetapi daripada benda dan binatang. Surat itu bunyikah? Bunyi senapang. Bunyi burung, alat muzik, bunyi biola. Apa bunyi surat itu?Ha!Ha! Sebuah permainan kata. Disengajakan.

Sang tikus yang bersembunyi dalam kapal keriau dengan kisah Klinik Politikus itu. Sang tikus juga mangsa tikus politik/orang politik yang suka berlawan dengan musuh politik dengan mendekati  personal attacks/serangan peribadi. Sepatutnya tikus politk membangunkan perkasa keyakinan  dan imej besar rakyat tikus. 

Harapan baru rakyat tikus mesti ditonjolkan bukan aktiviti lapuk, penipuan dan pandangan lemah dipancarkan. Cara ini merupakan teropong yang salah  hingga rakyat tikus muak dan benci.

Seekor lipas melintas di beberapa helaian kertas yang terlepas dari tangan seorang kelasi kapal. Kertas itu berterbangan ditiup angin di atas dek lalu masuk ke pintu tangga ke perut kapal.

Cerita Tiga:

Pandangan/Cadangan oleh A.Ghani Abdullah kepada PENA
Pada 20 Disember 2009 sempena Mesyuarat Agung PENA
---------------------------------------------------------------

1.    Memandangkan ada beberapa orang ahli PENA menganggotai Ahli Lembaga Pengelola DBP
Maka saya mencadangkan usul  supaya DBP diberi peruntukan besar seperti sebuah Kementerian Sukan-Kementerian Kebudayaan dan Kesenian dan sebahagian daripada peruntukan itu dapat

    Menjana gerakan bahasa dan sastera serta penerbitan dalam bahasa Melayu dengan lebih berkesan lagi.
    Diberi peruntukan kepada badan-badan penulis  tanah air secara tetap seperti PENA.
     Memberi bantuan kepada penulis tanah air menerbitkan karya sendiri-kreatif dan non kreatif dengan syarikat yang dipilih oleh penulis (Barangkali sekarang ada tetapi seperti melepaskan batuk di tangga sahaja).
    Menerbitkan akhbar sendiri untuk gerakan membangun dan mempopularkan penulis dan karya tanah air bukan sekadar Buletin Klik sahaja.
    Membolehkan DBP merancakkan kerjasama dengan TV dalam negeri dan luar negeri dalam memperkenalkan penulis dan karya.

2.Memandangkan keperluan dan cabaran sekarang dan akan datang, maka Menteri dan Kementerian Pendidikan (Sepaututnya DBP sudah lama di bawah Jabatan Perdana Menteri)  hendaklah melantik Ketua Pengarah DBP  daripada Pegawai DBP bersendiri. Jika mereka belum bersedia;  maka hendaklah melantik tokoh bahasa/sastera/budaya /sasterawan negara menduduki jawatan itu bukan melantik seseorang sebagai tugas pentadbir sahaja.

3.Memandangkan penulis kreatif dan non kreatif dalam bahasa Melayu mendaulatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan ilmu, maka royalti penulis hendaklah bebas daripada sebarang cukai kecuali buku teks.

4.Memandangkan perkembangan hadiah untuk pertandingan popular lain mencecah satu juta, maka eloklah pihak kerajaan menghulurkan hadiah untuk Anugerah Sasterawan Negara sehingga RM 200/= ribu dan sebuah rumah banglo. Mana-mana Sasterawan Negara terdahulu yang menerima RM30/= ribu  hendaklah ditambah RM30/= ribu  seperti hadiah yang diterima oleh Sasterawan Negara kini yang menerima hadiah sebanyak RM60/= ribu.

5.Memandangkan kebajikan dan kepentingan penulis belum diberi perhatian serius oleh banyak pihak, maka eloklah gerakan kebajikan dan kepentingan penulis ini terus digerakkan oleh PENA dan persatuan penulis yang lain. Termasuk misalnya kedudukan dan kebajikan  Dr. Ahmad Razali sebagai Setiausaha Kerja dan Setiausaha Agung PENA.

6.Memandangkan badan-badan tertentu termasuk DBP hendaklah lebih yakin melaksanakan  tugas atau melaksanakan fungsinya dan jangan sehingga timbul seperti yang disuarakan oleh Datuk Noor Azam bahawa artikelnya yang memperkatakan tentang bahasa pun tidak berani disiarkan oleh pihak DBP. Perkara ini tentunya menimbulkan banyak kemungkinan dan persoalan kepada kaum penulis dan orang ramai.

7. Kaum penulis dan persatuan penulis tentunya amat berterima kasih kepada Datuk Hassan Ahmad dan SN Datuk A. Samad Said, Datuk Baha Zain  dan rakan-rakan lain yang teguh memperjuangkan Matematik dan Sains kekal dalam Bahasa Melayu.Tahniah dan terima kasih.

a.ghani abdullah

*Nota: Lazim pandangan hanya pandangan. Apa kata Y.A.B. Perdana Menteri, mahukah beliau memikirkan cadangan ini? Lihat cerita penulis tanah air zaman Usman Awang, Keris Mas dalam novel Apabila Hidup Menjadi Lembah Kesusahan.

-AG

Cerita Dua:

Novel Harimau Oh Harimau lebih merupakan Novel Sacerdai iaitu novel yang mengandungi unsur satira dan dibalut dengan bongkah batu bersurat yang mengandungi cerpen dan unsur catatan atau nota. Kisah lima ekor harimau cuba menyelamatkan  seekor anak harimau daripada dibunuh oleh manusia. Ibu bapa anak harimau dibunuh oleh manusia.

Tentang novel di atas saya  cabut petikan ucapan rakan Tiroha Lib ( Nama panggilan rakan) : Katanya, “ Novel Harimau Oh Haraimau ini tidak ditulis dalam bentuk yang lazim ditulis oleh penulis novel yang lain. Saya  berharap novel ini dapat dilihat dan diterokai sebagai sebuah novel berbentuk baru iaitu novel  Sacerdai. Dengan istilah ini barangkali penganalisis dapat berbicara daripada terlibat dalam penjajahan teori. Penjajahan teori yang saya maksudkan ialah penganalisis/pembicara tidak menjadi novel Harimau Oh Harimau seperti penjajahan Inggeris yang menakluki sesebuah negara bagi mendapatkan hasil dalam negeri yang ditaklukinya. Kebaikan dan kemajuan rakyat/penduduk asal dibuaiabaikan.” Itu pandangan seorang rakan.

Barangkali maksud rakan saya itu, seperti yang dilakukan oleh seorang pensyarah (Allahyarham) Dr. Darwis Harhap. Cara memaparkan ulasan bersama dengan ilmunya dengan penulis/pengkarya. Atau yang pernah saya lihat tulisan dan ulasan yang dibuat oleh Jaafar Rahim (Dato’). Saya tak tahu nak katakan apa, barangkali Prof. Madya Taha Kadir (Bekas pensyarah UPM), atau Dr. Sahlan , Dr. Mana Sikana, Dr.Muhammad Hj. Saleh, Dr. Hashim Awang, Drs. Daud Mohammad  boleh beri komen. 

Bagi saya, penulis  eloklah terus menulis cara dan bentuk serta perjuangan yang tergerak ke arah kebenaran yang difikirkannya. Biarlah orang lain mengulas ikut rentaknya. Yang penting, galakkan rakyat Malaysia suka membaca! Galakan penulis menerbitkan pelbagai jenis buku dalam Bahasa Melayu. Termasuklah orang bukan Melayu.

Saya tabik hormat kepada Datuk A.Samad Said, Dato’Aziz Deraman, Dato’ Ahamad Kamal Abdullah dan beberapa orang rakan lain yang sudi memiliki novel ini dan memberikan sokongan.

Terima kasih.-A.GHANI ABDULLAH