A. Ghani Abdullah

a-ghani-abdullah.blogspot.com

  • Karya besar penggerak diri

    A GHANI ABDULLAH, pengarang kelahiran Ramuan Cina Kecil, Lubuk Cina, Melaka. Karyanya mendapat tempat dalam Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Harian Nasional, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Siswa dan Dewan Pelajar di samping menulis novel, Camar Putih di Awan Biru, pada 1991; Permaisuri (1995) dll.

Citra : Tun Fatimah

Posted by S.A.G On 12:00 AM 0 comments

CERITA SEPULUH
Sebahagian kisah Tun Fatimah dalam Sejarah Melayu yang telah siap diolah dalam gambaran/bayangan penulis. Belum diterbitkan.
  

TUN FATIMAH BERTUNANG DENGAN TUN ALI
(Tun Fatimah berusia  15 tahun)
Oleh A.GHANI ABDULLAH

Tun Fatimah, Dang Li Po dan Dang Ati telah tamat belajar ilmu persilatan dengan  Tuk Bunyi di Kampung Hulu. Mereka berdiri di sebuah bukit. Tun Fatimah asyik memandang ke arah sungai Melaka dan istana sultan.

Tun Fatimah seperti ada sesuatu yang  terbuku di dalam hatinya. Dia tidak meluahkan kepada sesiapa. Dia berasa ada sesuatu yang akan berlaku ke atas dirinya.

Dang Li Po dan Dang Ati mendapati Tun Fatimah lebih matang dan bertambah ayu.  Di gelanggang silat, Tun Fatimah menjalani latihan silat dengan bersungguh-sungguh . Tuk Bunyi menasihati Tun Fatimah supaya sentiasa kuat semangat dalam mengharungi gelombang hidup di dunia ini.

 “Tahniah kerana tamat belajar ilmu persilatan dengan Tuk Bunyi,” kata Dang Li Po.
“Kamu dan Dang Ati juga tamat pelajaran ilmu persilatan. Tahniah,” balas Tun Fatimah.

Tun Fatimah  merenung jauh ke arah laut Melaka. Dia seperti melihat akan kedatangan bala tentera musuh hendak menyerang Melaka.

Hei Melaka,

Negeriku, tanah airku, yang kupandang bukan pak belang dari hutan. Bukan pak belang mata terang, taringnya tajam.Aku tahu ekor belang panjang. Gerak misainya seperti harimau  garang kerana lapar. Tetapi yang aku tahu rakyat Melaka tidak lapar.Tetapi mereka leka dengan kemewahan.

Pedagang datang mencurah wang emas bertimbun-timbun ke Melaka. Mereka berdagang dengan pelbagai  jenis barang dari  dalam dan luar negeri.

    Aku takkan peduli harimau mengaum kerana memburu binatang. Harimau yang mengejar dan menerkam. Kemudian menggigit lalu membaham daging mangsanya. Tetapi apakah ini akan berlaku di Melaka ini? Bisik Tun Fatimah  kepada dirinya.

    Aku tahu pak belang berani. Apatah lagi tentang melompat dan berlari. Pak belang digeruni oleh setiap binatang dan manusia.Kalau  menangkapnya bukannya mudah. Malah di dalam hutan pak belang pandai sembunyi. Apakah musuh yang akan datang ke Melaka seperti pak belang?

    Hutan akan bekurangan  pada masa akan datang. Manusia membuka tanah baru untuk membuat tempat tinggal dan berdagang. Kuasa belang akan bekurangan. Atau pak belang akan bekurangan dan sukar ditemui. Jika ada pun belantara, hanya tempat menyimpan kayu balak. Mereka menjaga kayu dan bukan menjaga binatang. Apakah ini tanda akan pupus kesulatanan Melaka ?” Ini yang Tun Fatimah  terfikirkan.

    Dang Li Po dan Dang Ati masih berdiri di atas bukit. Bukit itu tidak jauh dari rumah tuk guru silat,Tuk Bunyi.

    Dang Li Po seperti terkenangkan ayah dan ibunya yang mati dalam kebakaran rumah. Peristiwa yang telah berlaku lebih sepuluh tahun lalu.

    Ayah dan ibunya seperti mahu bercerita tentang seribu cerita keberanian dan keagungan pahlawan Melaka.

 Mereka mahu lakonkan watak Hang Tuah berlima sahabat. Mereka mengalahkan lanun di sebuah pulau. Mereka membunuh pengamuk yang hendak membunuh Bendahara. Apatah lagi ketika Hang Tuah bersendirian berjaya membunuh orang mengamuk dengan kapak.

    Pelbagai cerita tentunya menghiburkan hati Dang Li Po. Cerita teladan, cerita nasihat pastinya mengadungi tamsil ibarat. Mendengar cerita tentunya otak cergas dan badan sihat.

    Dang Ati teringatkan juga kisah ayahnya mati dibunuh orang. Kisah yang berlalu jangan terlalu dikenang,jika dikenang meracun diri. Fikir Dang Ati.

    Dang Ati terbayangkan ketika dia masih kecil. Dia suka melompat-lompat.

    Satu dua tiga empat,
    Lima enam tujuh lapan,
    Siapa cepat dia dapat,
    Siapa lambat kena rotan.

    Satu dua tiga empat,
    Lima enam tujuh lapan,
    Budak rajin dapat ketupat,
    Budak malas kelaparan.

    Satu dua tiga empat,
    Lima enam tujuh lapan,
    Untung ada sahabat rapat,
    Jika salah dapat teguran.
  
    Percakapan Dang Ati didengar oleh Dang Li Po. Dang Li Po pun menyampuk.
Katanya:
    Cuit-cuit-cuit-cuit,
    Bunyi burung kenari,
    Cuit-cuit-cuit-cuit,
    Tak baik susah hati.

    Puk-puk-puk-puk,
    Pagar lama tumbang,
    Puk-puk-puk-puk,
    Tak baik bersikap garang

    Dang Ati ketawa dengan kata-kata Dang Li Po itu.Manakala Tun Fatimah masih merenung jauh. Dia seperti sedang berkata sesuatu.

    “Hei Ati,engkau nak cerita bahasa!”

    “Cerita bahasa ? Ceritakanlah.”

    Dang Li Po duduk dekat Dang Ati. Dang Li Po pun bercerita…..

Pada suatu hari ada seekor  kerbau tua sedang berjalan-jalan mencari makan. Makanannya rumput nan menghijau dan segar. Rumput seperti nasi berlauk yang sering dimakan oleh manusia.

Sedang dia berjalan-jalan itu, dia terfikir sesuatu. Sejak kecil hingga  usia tuanya,dia asyik mencari  padang rumput atau kawasan  rumput. Apabila kawasan itu ditemui,maka berduyun-duyun kumpulan lembu datang ke padang rumput itu. Akhirnya dia sendiri susah nak mencari rumput segar dan sedap.
Kerbau terjumpa  katak. Kata berasa hairan melihat kelakuan kerbau .Kerbau seperti hendak tak hendak sahaja berjalan. Katak pun mendekati katak.

“Wahai kerbau yang budiman?”

“Ya ahlilnujum yang pandai memanggil hujan.”

“Aku tengok engkau  amat berdukacita. Apa hal gerangannya?”

“Aku sendiri pun susah nak ceritakan kepda engkau,katak.”

“Ceritalah, jangan malu atau segan kepada aku ini. Apakah engkau rindukan bangau putih?”

“Bangau pun  sudah tak pedulikan aku. Dia tak rindu hendak kembali ke belakangku. Bangau zaman Hang Tuah akan kembali hinggap ke belakangku.”

“Jadi, apa yang sedang engkau fikirkan sekarang?”

“Aku ini selalu malang.”

“Malang, kata engkau.Malang macam mana?”

“Aku mencari rezeki untuk orang. Sedangkan rezekiku sendiri tidak ada.”

“Maksud engkau, wahai kerbau kesayangan bangau?”

“Manalah  bangau sayangkan aku. Bangau mencari makanannya di kulit badan aku ini. Usahlah sebut pasal bangau sayangkan aku.”

“Baiklah. Ceritakanlah masalah engkau.”

“Aku  jumpa padang rumput. Lembu akan datang meragut rumput di tempat itu. Aku jumpa lagi padang rumput. Beratus-ratus lembu datang meragut rumput di padang yang kutemui itu. Begitulah berulang-ulang. Lembu seperti tidak tahu mencari tempat ragutnya sendiri. Lembu semacam mendera aku sahaja. Aku tak boleh nak lawan mereka. Kumpulan mereka ramai. Sedangkan aku hanya tinggal seekor di daerah ini.”

“Macam mana lembu tahu engkau jumpa padang ragut?”
“Aku melaunglah, uhh-uhh-uhh.”

“Patutlah lembu faham. Dia tahu bahasa engkau. Engkau kata bertuah-bertuah jumpa rumput. Tentulah lembu datang.”

“Habis,apa yang perlu aku lakukan sekarang?”
“Itu senang sahaja.”

“Senang kata kamu. Sedangkan aku macam nak mati memikirkan hal itu.”

“Sabar dan bertenang. Ini rahsia antara kita. Macam manusia juga. Manusia yang maju kerana mahu pelajari ilmu orang lain.Kita pun kena begitu.”

“Maksud kamu,aku kena pergi sekolah.”

“Sekolah senang sahaja. Engkau belajar dengan aku.Engkau kena belajar bahasa katak, bahasa lembu dan bahasa binatang lain juga.”

“Apa tujuan kamu?”

“Aku tak mahu susahkan engkau. Beginilah ,engkau belajar bahasa harimau.”

“Kenapa? Aku kena jadi harimaukah?”

“Tidak. Sekarang engkau sebut aum-aum macam harimau mengaum.”
“Aum-aum-aum.Begitukah ?”

“Sungguh bijak. Engkau pandai bahasa harimau.”

“Apa gunanya, wahai katak.”

“Mulai esok, engkau jumpa padang ragut baru. Engkau pun berbunyi bahasa harimau, aum-aum, aum. Nanti engkau tengoklah hasilnya.”

“Baiklah. Aku akan perbuat seperti yang engkau ajar itu. Terima kasih.”

“Selamat mencuba.Sudah,janganlah engkau berdukacita lagi, wahai kerbau.”

Katak pun melompat ke dalam longkang. Dia terus hilang.

Esoknya, kerbau terjumpa sebuah padang ragut yang cantik. Daun-daun rumput lebar dan segar. Dia pun mengaum-ngaum.

“Aum,aum,aum,aum…”

Sekumpulan lembu mendengar bunyi itu. Mereka pun lari lintang- pukang. Lembu-lembu tidak menoleh ke belakang lagi. Mereka pun berkata sesama sendiri.

“Hai kawan-kawan. Kita tak boleh ke kawasan hujung sana. Di sana ada harimau. Jangan dekati kawasan itu lagi. Maut, nanti.”

Kerbau pun telah faham akan kata-kata lembu itu. Bahasa lembu mudah. Bahasa katak pun mudah. Apatah lagi bahasa harimau, lagi mudah. Fikir kerbau.

Sejak itu tahulah kerbau bahawa belajar bahasa binatang lain itu penting.

“Katak,katak,engkau bijak.” Kerbau ketawa berdekah-dekah sambil meragut rumput segar dengan tenang.

Tiba pada penghujung cerita kerbau dan katak itu, Dang Li Po dan Dang Ati pun ketawa. Mereka geli hati kerana kerbau belajar bahasa harimau.

Tun Fatimah masih merenung ke arah laut. Tun Fatimah mula terdengar khabar angin bahawa dirinya akan dipinang orang.

    Tun Fatimah berdebar-debar. Esok  atau lusa dia akan pulang dari tempat perguruannya. Dang Li Po dan Dang Ati masih meneka-neka, “Apakah yang sedang dilamunkan oleh Tun Fatimah?”

    Sementara itu di rumah Tun  Fatimah, ayahnya sedang berkira-kira tentang bakal suami  Tun Fatimah dan masa depannya.

    Anak Bendahara cantik menawan,
    Siapa terpandang akan terbayang,
    Ke hulu ke hilir tidak tentu makan,
    Fikir pemuda nak masuk meminang.

Tun Fatimah anak Tun Mutahir, Bendahara Seri Maharaja Melaka.

    Kalau tuan anak belia,
    Eloklah tanam serai halia,
    Orang cantik berhati mulia,
    Barulah bererti hidup di dunia.

“Cantik Tun Fatimah bagaikan tidak ada cacat celanya,”kata seorang pemuda di dalam hati.

“Rupanya terlalu elok,”kata ibu pemuda seperti faham tentang maksud anak mudanya yang sedang dilamun cinta.

“Wajahnya manis bagaikan laut madu yang bercahaya pada bulan purnama,”kata pemuda lagi.

Dalam semak tertambat kuda,
Kuda datang mencari anaknya,
Cantik Fatimah pengubat luka,
Harimau garang dapat dijinaknya.

Tanah sawah ditanam peria,
Raja Suran memburu rusa,
Tun Fatimah berhati  mulia,
 Suka berbaik dengan semua.

Turun ke tanah membawa bara,
Bara dedak dikirai merata,
Tun Fatimah anak Bendahara,
Bendahara kaya,emasnya tak terkira.

Kalau mendaki ditarik-tarik,
Pukul gendang serba tak kena,
Tun Fatimah berpakaian cantik,
Sultan Melaka belum melihatnya.
  
Pada suatu pagi ,berkata-katalah Bendahara di dalam hati.

“Tun Fatimah dewasa sudah,
Anak aku yang berbudi bahasa,
Kini sudah tiba masanya,
Dia mesti kukahwin jua,
Siapakah agaknya elok dijadikan menantu,
Orang kaya atau orang biasa,
Atau orang yang kukenal jua,
Atau sudah adakah yang cuba bertanya,
Siapakah pemuda itu gerangannya,
Baik kutimbang akan pinangannya.
Jika demikian,
Aku terfikir akan Tun Ali,
Baik dia kujodohkan,
Dengan anakku Tun Fatimah ini,
Lagi  pun dia anak Seri Nara Diraja,
Orang yang kukenal ,
Lagi kutahu akan keluarganya,”fikir Tun Mutahir.

Tun Mutahir pun berjumpalah dengan saudara maranya bagi memberi tahu akan hajatnya .

    Saudara-mara jauh dan dekat tidak membantah akan niat Tun Mutahir.Mereka bersyukur kerana Tun Fatimah akan dikahwinkan dengan anak Seri Nara Diraja.

“Anak dara tidak baik dibiarkan hingga tua.Apa lagi ditinggalkan bagi menunggu rumah semata-mata.Lebih baik dicarikan jodohnya,”bisik mereka kepada Tun Mutahir.

Tun Mutahir tersenyum mendengar  akan gurau-senda  sanak-keluarganya.

    Tetapi apabila berita Tun Fatimah itu tiba ke pengetahuan Raja di Baruh, Raja di Baruh menjadi gamam.Dia terfikir dan terasa semacam ada sesuatu yang tidak kena.

    “Aku ini bapa saudara Raja Mahmud,apa katanya tentang Tun Fatimah nanti?”

    “Apakah berita Tun Fatimah ini sudah diberitahu Duli Yang Dipertuan ?”

    “Atau Tun Mutahir sengaja hendak menyembunyikan rahsia.Tetapi rahsia apa?”

    “Atau Tun Mutahir hanya ada niat untuk menguji Yang Dipertuan?”

    “Atau inilah mulanya nahas bagi keluarga Bendahara Tun Mutahir?”

    “Aku jadi kelabu.Fikiranku kusut.”

    Raja di Baruh tertanya-tanya di dalam dirinya.

“Sultan Mahmud Syah,Sultan Melaka, belum melihat Tun Fatimah.”

“Lazimnya setiap anak orang kenamaan yang hendak berkahwin, mestilah diberi tahu dan diperkenalkan  kepada Sultan.” Raja di Baruh susah hati.

Tun Mutahir selaku Bendahara Melaka belum memberitahu hal anaknya itu kepada Sultan Mahmud Syah.

“Anak Bendahara yang cantik, manis dan  setiap orang akan terpegun melihatnya. Alangkah baiknya Tun Fatimah dikahwinkan dengan Sultan,” bisik Raja di Baruh .

Ketika Raja di Baruh bertemu dengan Tun Mutahir. Dia pun mengambil peluang untuk bertanya.Dia mahu tahu tentang hajat Tun Mutahir hendak mengahwinkan  anaknya .

    "Apakah Duli Yang Dipertuan sudah melihat Tun Fatimah?"tanya Raja di Baruh kepada Tun Mutahir.

    "Belum," kata Tun Mutahir.

    "Oh ya, jika Datuk Bendahara tidak keberatan, mahu saya berkata sesuatu," Raja di Baruh mempertimbang-timbangkan cakapnya.

    "Katalah, tak mengapa. Saya tak marah," Tun Mutahir meminta Raja di Baruh meluahkan pendapatnya.

    "Tun Fatimah baik dan cantik orangnya. Jika boleh, kahwinkan dengan orang yang sepadan dengannya. Jika bersetuju, tangguhlah dulu  pertunangan atau perkahwinan Tun Fatimah.”

“Maksudnya…”

“Kenalkan Tun Fatimah kepada  Yang Dipertuan.”

“Kenapa pula demikian?”

“Negeri Melaka sekarang tidak ada permaisurinya. Bukankah permaisuri telah mangkat," Raja di Baruh bercakap terus terang akan niatnya.

    "Eh, tak usahlah Tun Fatimah dijadikan permaisuri.”

“Kenapa begitu pula?”

“ Kami ini bukan berdarjat tinggi.”

“Tun Mutahir, tak berdarjat?”

“Ya,kami sekeluarga hina-dina belaka.”

 “Janganlah  kata begitu, Datuk Bendahara.”

“Eloklah Duli Yang Dipertuan mencari yang lebih setaraf," Tun Mutahir memberikan pandangan.

    "Jika demikian kata Datuk Bendahara, ikut sukalah.”

“Saya kira, begitulah.”

“Saya menurut sahaja. Kata-kata tadi itu hanya mengingatkan Datuk Bendahara," kata Raja di Baruh.
Raja di Baruh terpaksa menerima keputusan Tun Mutahir.

---------------------ag

Categories:

0 Response for the "Citra : Tun Fatimah"

Post a Comment

Carian