Aidiladha bakal menjelma. Mereka yang menunaikan haji rukun islam ke-5, pastinya gembira. Semoga dimana jua kita berada, kita sentiasa mendapat hidayah dan keberkatan-NYA. Amin.
CERITA SEPULUH
Sebahagian kisah Tun Fatimah dalam Sejarah Melayu yang telah siap diolah dalam gambaran/bayangan penulis. Belum diterbitkan.
TUN FATIMAH BERTUNANG DENGAN TUN ALI
(Tun Fatimah berusia 15 tahun)
Oleh A.GHANI ABDULLAH
Tun Fatimah, Dang Li Po dan Dang Ati telah tamat belajar ilmu persilatan dengan Tuk Bunyi di Kampung Hulu. Mereka berdiri di sebuah bukit. Tun Fatimah asyik memandang ke arah sungai Melaka dan istana sultan.
Tun Fatimah seperti ada sesuatu yang terbuku di dalam hatinya. Dia tidak meluahkan kepada sesiapa. Dia berasa ada sesuatu yang akan berlaku ke atas dirinya.
Dang Li Po dan Dang Ati mendapati Tun Fatimah lebih matang dan bertambah ayu. Di gelanggang silat, Tun Fatimah menjalani latihan silat dengan bersungguh-sungguh . Tuk Bunyi menasihati Tun Fatimah supaya sentiasa kuat semangat dalam mengharungi gelombang hidup di dunia ini.
“Tahniah kerana tamat belajar ilmu persilatan dengan Tuk Bunyi,” kata Dang Li Po.
“Kamu dan Dang Ati juga tamat pelajaran ilmu persilatan. Tahniah,” balas Tun Fatimah.
Tun Fatimah merenung jauh ke arah laut Melaka. Dia seperti melihat akan kedatangan bala tentera musuh hendak menyerang Melaka.
Hei Melaka,
Negeriku, tanah airku, yang kupandang bukan pak belang dari hutan. Bukan pak belang mata terang, taringnya tajam.Aku tahu ekor belang panjang. Gerak misainya seperti harimau garang kerana lapar. Tetapi yang aku tahu rakyat Melaka tidak lapar.Tetapi mereka leka dengan kemewahan.
Pedagang datang mencurah wang emas bertimbun-timbun ke Melaka. Mereka berdagang dengan pelbagai jenis barang dari dalam dan luar negeri.
Aku takkan peduli harimau mengaum kerana memburu binatang. Harimau yang mengejar dan menerkam. Kemudian menggigit lalu membaham daging mangsanya. Tetapi apakah ini akan berlaku di Melaka ini? Bisik Tun Fatimah kepada dirinya.
Aku tahu pak belang berani. Apatah lagi tentang melompat dan berlari. Pak belang digeruni oleh setiap binatang dan manusia.Kalau menangkapnya bukannya mudah. Malah di dalam hutan pak belang pandai sembunyi. Apakah musuh yang akan datang ke Melaka seperti pak belang?
Hutan akan bekurangan pada masa akan datang. Manusia membuka tanah baru untuk membuat tempat tinggal dan berdagang. Kuasa belang akan bekurangan. Atau pak belang akan bekurangan dan sukar ditemui. Jika ada pun belantara, hanya tempat menyimpan kayu balak. Mereka menjaga kayu dan bukan menjaga binatang. Apakah ini tanda akan pupus kesulatanan Melaka ?” Ini yang Tun Fatimah terfikirkan.
Dang Li Po dan Dang Ati masih berdiri di atas bukit. Bukit itu tidak jauh dari rumah tuk guru silat,Tuk Bunyi.
Dang Li Po seperti terkenangkan ayah dan ibunya yang mati dalam kebakaran rumah. Peristiwa yang telah berlaku lebih sepuluh tahun lalu.
Ayah dan ibunya seperti mahu bercerita tentang seribu cerita keberanian dan keagungan pahlawan Melaka.
Mereka mahu lakonkan watak Hang Tuah berlima sahabat. Mereka mengalahkan lanun di sebuah pulau. Mereka membunuh pengamuk yang hendak membunuh Bendahara. Apatah lagi ketika Hang Tuah bersendirian berjaya membunuh orang mengamuk dengan kapak.
Pelbagai cerita tentunya menghiburkan hati Dang Li Po. Cerita teladan, cerita nasihat pastinya mengadungi tamsil ibarat. Mendengar cerita tentunya otak cergas dan badan sihat.
Dang Ati teringatkan juga kisah ayahnya mati dibunuh orang. Kisah yang berlalu jangan terlalu dikenang,jika dikenang meracun diri. Fikir Dang Ati.
Dang Ati terbayangkan ketika dia masih kecil. Dia suka melompat-lompat.
Satu dua tiga empat,
Lima enam tujuh lapan,
Siapa cepat dia dapat,
Siapa lambat kena rotan.
Satu dua tiga empat,
Lima enam tujuh lapan,
Budak rajin dapat ketupat,
Budak malas kelaparan.
Satu dua tiga empat,
Lima enam tujuh lapan,
Untung ada sahabat rapat,
Jika salah dapat teguran.
Percakapan Dang Ati didengar oleh Dang Li Po. Dang Li Po pun menyampuk.
Katanya:
Cuit-cuit-cuit-cuit,
Bunyi burung kenari,
Cuit-cuit-cuit-cuit,
Tak baik susah hati.
Puk-puk-puk-puk,
Pagar lama tumbang,
Puk-puk-puk-puk,
Tak baik bersikap garang
Dang Ati ketawa dengan kata-kata Dang Li Po itu.Manakala Tun Fatimah masih merenung jauh. Dia seperti sedang berkata sesuatu.
“Hei Ati,engkau nak cerita bahasa!”
“Cerita bahasa ? Ceritakanlah.”
Dang Li Po duduk dekat Dang Ati. Dang Li Po pun bercerita…..
Pada suatu hari ada seekor kerbau tua sedang berjalan-jalan mencari makan. Makanannya rumput nan menghijau dan segar. Rumput seperti nasi berlauk yang sering dimakan oleh manusia.
Sedang dia berjalan-jalan itu, dia terfikir sesuatu. Sejak kecil hingga usia tuanya,dia asyik mencari padang rumput atau kawasan rumput. Apabila kawasan itu ditemui,maka berduyun-duyun kumpulan lembu datang ke padang rumput itu. Akhirnya dia sendiri susah nak mencari rumput segar dan sedap.
Kerbau terjumpa katak. Kata berasa hairan melihat kelakuan kerbau .Kerbau seperti hendak tak hendak sahaja berjalan. Katak pun mendekati katak.
“Wahai kerbau yang budiman?”
“Ya ahlilnujum yang pandai memanggil hujan.”
“Aku tengok engkau amat berdukacita. Apa hal gerangannya?”
“Aku sendiri pun susah nak ceritakan kepda engkau,katak.”
“Ceritalah, jangan malu atau segan kepada aku ini. Apakah engkau rindukan bangau putih?”
“Bangau pun sudah tak pedulikan aku. Dia tak rindu hendak kembali ke belakangku. Bangau zaman Hang Tuah akan kembali hinggap ke belakangku.”
“Jadi, apa yang sedang engkau fikirkan sekarang?”
“Aku ini selalu malang.”
“Malang, kata engkau.Malang macam mana?”
“Aku mencari rezeki untuk orang. Sedangkan rezekiku sendiri tidak ada.”
“Maksud engkau, wahai kerbau kesayangan bangau?”
“Manalah bangau sayangkan aku. Bangau mencari makanannya di kulit badan aku ini. Usahlah sebut pasal bangau sayangkan aku.”
“Baiklah. Ceritakanlah masalah engkau.”
“Aku jumpa padang rumput. Lembu akan datang meragut rumput di tempat itu. Aku jumpa lagi padang rumput. Beratus-ratus lembu datang meragut rumput di padang yang kutemui itu. Begitulah berulang-ulang. Lembu seperti tidak tahu mencari tempat ragutnya sendiri. Lembu semacam mendera aku sahaja. Aku tak boleh nak lawan mereka. Kumpulan mereka ramai. Sedangkan aku hanya tinggal seekor di daerah ini.”
“Macam mana lembu tahu engkau jumpa padang ragut?”
“Aku melaunglah, uhh-uhh-uhh.”
“Patutlah lembu faham. Dia tahu bahasa engkau. Engkau kata bertuah-bertuah jumpa rumput. Tentulah lembu datang.”
“Habis,apa yang perlu aku lakukan sekarang?”
“Itu senang sahaja.”
“Senang kata kamu. Sedangkan aku macam nak mati memikirkan hal itu.”
“Sabar dan bertenang. Ini rahsia antara kita. Macam manusia juga. Manusia yang maju kerana mahu pelajari ilmu orang lain.Kita pun kena begitu.”
“Maksud kamu,aku kena pergi sekolah.”
“Sekolah senang sahaja. Engkau belajar dengan aku.Engkau kena belajar bahasa katak, bahasa lembu dan bahasa binatang lain juga.”
“Apa tujuan kamu?”
“Aku tak mahu susahkan engkau. Beginilah ,engkau belajar bahasa harimau.”
“Kenapa? Aku kena jadi harimaukah?”
“Tidak. Sekarang engkau sebut aum-aum macam harimau mengaum.”
“Aum-aum-aum.Begitukah ?”
“Sungguh bijak. Engkau pandai bahasa harimau.”
“Apa gunanya, wahai katak.”
“Mulai esok, engkau jumpa padang ragut baru. Engkau pun berbunyi bahasa harimau, aum-aum, aum. Nanti engkau tengoklah hasilnya.”
“Baiklah. Aku akan perbuat seperti yang engkau ajar itu. Terima kasih.”
“Selamat mencuba.Sudah,janganlah engkau berdukacita lagi, wahai kerbau.”
Katak pun melompat ke dalam longkang. Dia terus hilang.
Esoknya, kerbau terjumpa sebuah padang ragut yang cantik. Daun-daun rumput lebar dan segar. Dia pun mengaum-ngaum.
“Aum,aum,aum,aum…”
Sekumpulan lembu mendengar bunyi itu. Mereka pun lari lintang- pukang. Lembu-lembu tidak menoleh ke belakang lagi. Mereka pun berkata sesama sendiri.
“Hai kawan-kawan. Kita tak boleh ke kawasan hujung sana. Di sana ada harimau. Jangan dekati kawasan itu lagi. Maut, nanti.”
Kerbau pun telah faham akan kata-kata lembu itu. Bahasa lembu mudah. Bahasa katak pun mudah. Apatah lagi bahasa harimau, lagi mudah. Fikir kerbau.
Sejak itu tahulah kerbau bahawa belajar bahasa binatang lain itu penting.
“Katak,katak,engkau bijak.” Kerbau ketawa berdekah-dekah sambil meragut rumput segar dengan tenang.
Tiba pada penghujung cerita kerbau dan katak itu, Dang Li Po dan Dang Ati pun ketawa. Mereka geli hati kerana kerbau belajar bahasa harimau.
Tun Fatimah masih merenung ke arah laut. Tun Fatimah mula terdengar khabar angin bahawa dirinya akan dipinang orang.
Tun Fatimah berdebar-debar. Esok atau lusa dia akan pulang dari tempat perguruannya. Dang Li Po dan Dang Ati masih meneka-neka, “Apakah yang sedang dilamunkan oleh Tun Fatimah?”
Sementara itu di rumah Tun Fatimah, ayahnya sedang berkira-kira tentang bakal suami Tun Fatimah dan masa depannya.
Anak Bendahara cantik menawan,
Siapa terpandang akan terbayang,
Ke hulu ke hilir tidak tentu makan,
Fikir pemuda nak masuk meminang.
Tun Fatimah anak Tun Mutahir, Bendahara Seri Maharaja Melaka.
Kalau tuan anak belia,
Eloklah tanam serai halia,
Orang cantik berhati mulia,
Barulah bererti hidup di dunia.
“Cantik Tun Fatimah bagaikan tidak ada cacat celanya,”kata seorang pemuda di dalam hati.
“Rupanya terlalu elok,”kata ibu pemuda seperti faham tentang maksud anak mudanya yang sedang dilamun cinta.
“Wajahnya manis bagaikan laut madu yang bercahaya pada bulan purnama,”kata pemuda lagi.
Dalam semak tertambat kuda,
Kuda datang mencari anaknya,
Cantik Fatimah pengubat luka,
Harimau garang dapat dijinaknya.
Tanah sawah ditanam peria,
Raja Suran memburu rusa,
Tun Fatimah berhati mulia,
Suka berbaik dengan semua.
Turun ke tanah membawa bara,
Bara dedak dikirai merata,
Tun Fatimah anak Bendahara,
Bendahara kaya,emasnya tak terkira.
Kalau mendaki ditarik-tarik,
Pukul gendang serba tak kena,
Tun Fatimah berpakaian cantik,
Sultan Melaka belum melihatnya.
Pada suatu pagi ,berkata-katalah Bendahara di dalam hati.
Genre: Novel